Monday 7 March 2011

Pengenalan Lari Pecut

Lari pecut bermaksud berlari dengan kelajuan yang pantas dan ia memerlukan koordinasi bahagian-bahagian anggota badan seperti ayunan tangan dan kaki. Lari pecut merupakan acara olahraga jarak dekat. Ia dapat dikategorikan kepada 3 jenis iaitu acara olahraga jarak 100m, 200m, dan 400m yang memerlukan tenaga tinggi seperti tenaga anaerobik untuk membuat larian sepantas mungkin. Semasa mengajar Pendidikan Jasmani, guru perlu menerangkan tentang cara pergerakan yang betul kepada pelajar mereka supaya peluang kecederaan dikurangkan. Prinsip-prinsip asas acara lari pecut adalah seperti berikut :

a) Berlari di atas hujung kaki, bukan di atas tapak kaki.
b) Kaki belakang diluruskan setiap kali mengakhiri tolakan yang dibuat oleh kaki tersebut.
c) Tangan digerakkkan dengan pantas.
d) Leher dan bahu hendaklah dalam keadaan selesa ( tidak ditegangkan ).

Bagi seorang atlit, teknik dan gaya larian merupakan faktor utama untuk menempa kejayaan. Lari pecut dalam sukan olahraga adalah larian terpantas dibandingkan dengan acara-acara lain. Larian pantas ini bergantung pula kepada beberapa faktor seperti jarak, kelajuan angin, permukaan balapan, jenis kejohanan dan taraf pelari yang mengambil bahagian dan mungkin juga insentif yang ditawarkan. Berlari merupakan aktiviti yang sihat dan menyeronokkan. Amat sukar bagi seseorang untuk berlari dengan pantas sekiranya tidak mempunyai ciri-ciri yang membolehkan dia bertindak sedemikian. Untuk berlari dengan pantas seseorang perlu kemahiran yang tinggi, fikiran dan kebolehan, dan sebaik-baiknya adalah kebolehan semulajadi. Latihan yang teratur dan berjadual akan membolehkan seseorang menjadi pelari yang baik menerusi potensi yang sedia ada dalam diri seseorang. Ada dua faktor yang boleh dikuasai oleh pelari-pelari pecut iaitu faktor kelajuan dan jarak langkah semasa berlari. Untuk menguasai kelajuan kaki, pelari haruslah mempunyai kordinasi, kelenturan yang tinggi dan keupayaan merehatkan diri atau badan semasa berlari. Bagi faktor jarak langkah pula ianya bergantung kepada panjang kaki, kekuatan dan mobiliti semasa bergerak. Pelari biasanya mempunyai jarak langkah 1.5 meter hingga 2 meter. Jarak langkah boleh ditingkatkan dengan latihan yang menekankan kepada latihan pergelangan kaki, lutut dan sendi pinggang.

No comments:

Post a Comment